Siti Saleha yang terkenal sebagai Nora Elena mengakui bahawa dia kini sedang intim dengan seseorang. Jejaka tersebut juga dikenali ramai kerana pernah menghiasi dada-dada akhbar tempatan selain merupakan ahli keluarga kepada seorang selebriti tempatan. Dia yang dimaksudkan ialah penjaga gol negeri Sabah bernama Syed Adney Syed Hussein yang juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.
Adney merupakan bekas kekasihnya sebelum ini dan hubungan mereka putus di tengah jalan kerana salah faham. Masih sayang antara satu sama lain, hubungan mereka kembali bertaut dan kini sedang menuju ke arah satu hubungan yang lebih serius dan matang.
Kosmo!: Boleh berkongsi dengan kami tentang kekasih anda? Khabarnya ada gosip yang mendakwa anda bercinta dengan penjaga gol Kelantan?
SALEHA: Dia seorang penjaga gol Sabah. Kenapa pula penjaga gol Kelantan yang disebut. Dia juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.
Sejak bila kalian bercinta sedangkan sebelum ini anda menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Inggeris bernama Robin Coenraad berikutan beberapa kali anda berdua muncul bersama dalam beberapa acara hiburan sebelum ini?
Oh itu dulu. Saya dengan dia sudah lama putus. Putus dengan dia sebab dia tak faham kerjaya saya sebagai artis. Misalnya, kalau tengok saya berlakon dengan artis lelaki dia akan cemburu.
Sudah berapa lama anda dan juga penjaga gol Sabah iaitu Syed Adney bercinta?
Sudah dua tahun dan dia merupakan bekas kekasih saya tetapi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut.
Anda begitu terbuka bila bercerita tentang kekasih. Tidak takut pada pandangan peminat dan masyarakat?
Apa salahnya bercerita tentang kekasih, tetapi biar ada hadnya. Saya juga tahu had untuk saya bercerita tentang kekasih.
Apakah yang membukakan hati anda untuk menerima Syed Adney semula sedangkan anda berdua pernah berpisah sebelum ini?
Saya dan keluarga dia baik terutama sekali dengan kakak dia, Sharifah Sofea. Saya selalu datang ke rumah mereka jika ada majlis. Ibu dia juga saya sudah anggap seperti ibu saya sendiri. Bila terserempak dengan dia, perasaan sayang antara satu sama lain masih ada. Disebabkan itu, kami bersama semula. Walaupun jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk tetapi dia sangat memahami.
Hubungan anda berdua semakin serius. Sudah ada sebarang perancangan di masa hadapan?
Buat masa ini kami belum fikir lagi tentang masa depan. Umur saya juga masih muda baharu 22 tahun.
Siti Saleha kini sedang menjalani penggambaran bagi filem KL Zombie yang akan menggandingkan beliau bersama Zizan Razak dibawah arahan M. J. Woo. Siti Saleha memegang peranan sebagai Nora, gadis yang menceburi perniagaan Skim Jualan Langsung (MLM)