Top Menu

loteri RM1.95 bilion sudah ada pemenangnya



ORANG RAMAI beratur untuk membeli tiket loteri Mega Millions di sebuah kedai serbaguna di Los Angeles kelmarin.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Hadiah loteri terbesar di dunia berjumlah AS$640 juta (RM1.95 bilion) dilaporkan telah dimenangi oleh sekurang-kurangnya seorang pemenang semalam dengan media tempatan menyatakan, tiket bertuah itu dijual di negeri Maryland.
Nombor kemenangan tersebut - 2, 4, 23, 38, 46 dan 23 diumumkan di sini pada pukul 11 pagi waktu AS.
Namun, firma yang mengendalikan loteri berkenaan, Mega Millions masih belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.
Saluran televisyen AS, MSNBC memetik kenyataan seorang pegawai loteri di negeri Maryland apabila melaporkan berhubung kemenangan tersebut.
Akhbar Washington Post yang menggunakan sumber sama, melaporkan tiket kemenangan itu dijual di daerah Baltimore.
Bagaimanapun, masih belum jelas setakat ini sama ada tiket loteri di Maryland itu merupakan satu-satunya tiket kemenangan loteri berkenaan.
Beberapa pakar menyatakan, ia mungkin mengambil berhari-hari malah, hingga beberapa minggu sebelum seseorang tampil untuk menuntut hadiah cepumas itu ekoran pemenang biasanya akan berbincang mengenai aspek perundangan dengan peguam mereka sebelum mengambil hadiah.
Sebanyak 176 juta tiket atau lebih 2 tiket loteri berkenaan bagi setiap warga AS telah dijual di kedai serbaguna dan kios di seluruh negara.
Peluang untuk memenangi loteri berkenaan pula ialah satu dalam 176 juta.
“Saya tahu peluang untuk menang tipis tetapi jika saya menang, saya akan berpindah ke New Zealand kerana terdapat lebih banyak kambing daripada manusia di negara itu. Terlalu ramai orang di New York,” kata seorang imigran Romania, Cosmin Barbos, 37 selepas membeli tiket loteri Mega Millions.
Satu tiket loteri itu berharga AS$1 (RM3.06)
Pemenang boleh memilih untuk mengambil wang tunai serta-merta atau menerima wang tersebut menerusi 26 pembayaran tahunan.
Hadiah cepumas tersebut akan ditolak sejumlah cukai negeri dan persekutuan AS.
Cepumas berkenaan meningkat kepada AS$640 juta selepas tiada pemenang untuk loteri berkenaan sejak cabutan pada 24 Januari lalu.
Mengulas mengenai loteri tersebut, akhbar tempatan Kansas City Star menyatakan, cepumas itu mencukupi untuk membeli sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner bersama sebuah pulau persendirian di Thailand.
Namun, beberapa akhbar lain pula melaporkan tentang nasib malang yang menimpa empat pemenang loteri cepumas di AS sebelum ini.
Ia termasuk kisah Jack Whittaker yang memenangi AS$315 juta (RM964.5 juta ) pada 2002 tetapi wang kemenangannya tidak kekal lama akibat dicuri dan sifatnya yang gemar berbelanja mewah. – AFP
sumber:kosmo