KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran yang popular dengan lagu Kalau Berpacaran, Sohaimi Mior Hassan, 55, telah mencipta sebuah lagu bertajuk Kalau Hisap Dadah bagi memberi kesedaran golongan remaja agar tidak terbabit dalam gejala penagihan dadah baru-baru ini.
Menurut penyanyi yang dilahirkan di Beruas, Perak ini dia berharap mesej lagu Kalau Hisap Dadah mampu memberi impak yang positif kepada para pendengar selepas lagu Kalau Berpacaran yang diduetkannya bersama Ana Raffali dan Altimet mendapat sambutan dua tahun lalu.
“Lagu Kalau Hisap Dadah lagu dan liriknya saya cipta sendiri. Lagu itu tentang bahaya hisap dadah di mana ia akan dimuatkan dalam album terakhir saya yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Selepas itu, saya akan bersara daripada bidang nyanyian mahupun penciptaan lagu.
“Dalam lagu Kalau Hisap Dadah saya berduet dengan Altimet dan dia menyanyikan rangkap lirik lagu yang mewakili golongan penagih dadah. Lagu itu banyak memberi nasihat dan ia seperti datangnya daripada perspektif seorang penagih dadah yang telah menerima kesannya,” ujarnya.
Jelas Sohaimi, memandangkan album yang akan diterbitkannya kelak adalah yang terakhir, dia juga berhasrat merakamkan lagu Serunai Malam yang mana bapa kepada tiga anak perempuan ini berhasrat mahu menyanyikan lagu itu secara duet dengan Jamal Abdillah.
Dia yang popular dengan lagu seperti Epilog Cinta Dari Bromley dan Misteri Cinta itu kini sedang mendapatkan persetujuan daripada Jamal Abdillah bagi merakamkan lagu pop itu sebelum dia mengundurkan diri daripada bidang nyanyian buat selama-lamanya.
“Pada usia 55 tahun saya rasa sudah sampailah masanya saya bersara daripada bidang nyanyian. Saya rasa sudah tidak sesuai lagi untuk menyanyi. Selepas tidak menyanyi lagi nanti, saya mahu memberi perhatian kepada beribadat kepada Allah,” tuturnya lagi dalam nada serius. sumber