Seorang bayi perempuan berusia enam bulan mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang bermain di ruang tamu rumah neneknya di Kampung Lanchut Tok Leed, di sini, pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Shamina Zulaikha Mohd Azim dan kakaknya, Sofina Zulaikha, 3, dikatakan tinggal di rumah itu bersama ibu saudaranya, Nuraina Rosli, 14, manakala datuk dan nenek mangsa keluar menoreh getah.
Bapa kedua-dua kanak-kanak terbabit, Mohd Azim Akmal, 23, pula keluar bekerja sebagai pendawai. Ketika kejadian dua beradik berkenaan dipercayai baru selesai mandi bermain di ruang tamu rumah itu, manakala ibu saudara mangsa dikatakan sedang menggoreng nasi di dapur rumah itu sebelum dimaklumkan oleh Sofina Zulaikha yang adiknya ‘tertidur’ dipercayai selepas letih bermain. Difahamkan, Nuraina yang berasa tidak sedap hati bergegas ke ruang tamu rumah sebelum melihat mangsa dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam ke lantai sambil tangan kirinya memegang wayar elektrik sambungan berkenaan.
Mangsa yang baru pandai meniarap dipercayai pergi ke belakang almari di ruang tamu rumah itu dan menarik wayar sambungan elektrik sebelum dipercayai terkena renjatan dan mati di tempat kejadian. Sementara itu, seorang lagi ibu saudara mangsa, Siti Hajar Idris, 26, berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik tinggal di rumah nenek mereka sejak kecil kerana ibu mereka, Siti Mariam Idris, 23, masih menuntut di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang dan pulang menjenguk anaknya setiap hujung minggu.
Siti Hajar berkata, Nuraina terus mendukung mangsa dan ketika itu dia turut terkena renjatan elektrik dipercayai daripada tubuh mangsa dan berusaha merentap tangan mangsa yang menggenggam wayar berkenaan sebelum meminta pertolongan jiran.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dan dibawa ke HSB di sini untuk dibedah siasat,” katanya. Difahamkan, tiada kecederaan serius pada tubuh mangsa dan hanya lebam di beberapa bahagian badan, selain tangan kirinya yang masih dalam keadaan menggenggam. Jenazah mangsa dituntut bapanya kira-kira jam 3 petang di HSB sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tanggol di sini selepas solat Asar, semalam. Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.