BEBERAPA orang menteri daripada parti pemerintah dan pembangkang bergaduh pada sesi pembentangan parlimen di Kiev, Ukraine kelmarin.
KIEV, Ukraine – Pergaduhan ganas tercetus pada sidang parlimen Ukraine kelmarin berikutan satu rang undang-undang yang akan membenarkan penggunaan bahasa Rusia di mahkamah, hospital dan institusi lain di negara tersebut.
Pergaduhan berlaku antara kumpulan pembangkang pro-Barat yang mahu membawa Ukraine keluar daripada bayang-bayang Rusia dengan anggota parti pemerintah pimpinan Presiden Viktor Yanukovych yang menyokong penggunaan bahasa Rusia.
Sekurang-kurangnya seorang menteri parti pembangkang, Mykola Petruk mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital.
Pergaduhan di parlimen Ukraine bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam satu pergaduhan pada Disember 2010, enam orang menteri dikejarkan ke hospital.
Ukraine berpecah kepada wilayah timur yang bertutur dalam bahasa Rusia dan mahukan hubungan rapat dengan Moscow. Bahagian barat pula yang menggunakan bahasa Ukraine dan pro-Barat, mahu negara itu menyertai negara Barat. – Agensi