Top Menu

harga bawang putih naik ?

                                                                                     
PETALING JAYA: Harga bawang putih di negara ini didapati melambung ekoran bekalan terhad - kenaikan sebanyak dua kali ganda di Lembah Klang dan tiga kali ganda berbanding harga asal di Pulau Pinang.

Tinjauan mendapat bawang putih yang kebiasaannya dijual RM4 sekilogram bulan lalu naik di antara RM8 dan RM9 di Lembah Klang.

Di Pulau Pinang, kenaikan sama berlaku dari harga asal RM3.
Menurut Persatuan Import-Eksport Makanan, secara purata, harga borong bagi bawang putih adalah sekitar RM6 sekilogram, berbanding RM3 awal tahun ini.

Presidennya, Datuk Alex Chuah berkata, faktor cuaca yang tidak menentukan menyebabkan hasil pengeluaran terjejas dan mendorong kenaikan harga di China, pengeluar terbesar bawang putih di dunia.

"Perniagaan tempatan tidak mampu mengimport bawang dari China buat masa ini dan bergantung kepada stok sedia ada yang mampu bertahan sehingga penghujung tahun ini.
"Mereka mahu menunggu sehingga harga kembali normal sebelum mengimport semula bawang putih.

"Namun, mereka memerlukan kemudahan simpanan stok sedia ada untuk menjamin kesegaran dalam tempoh jangka masa panjang yang meningkatkan kos perbelanjaan," katanya kepada The Star.

Malaysia mengimport bawang putih dari China dan perlu bersaing dengan negara lain termasuk pengeluar lain komoditi itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cuaca sejuk bukan saja menjejaskan bekalan tetapi pengeluaran bawang putih.

Katanya, berlaku kira-kira 30% penurunan dalam pengeluaran bawang putih pada musim tuaian tahun lalu.

"Situasi semakin kritikal kerana China menghasilkan 90% daripada bekalan bawang putih di dunia," katanya.

Rakyat Malaysia memerlukan kira-kira 6,000 tan bawang putih setiap tahun.
"Bekalan masih mencukupi buat masa ini tetapi ia mungkin berkurangan pada hujung bulan November.

"Bawang putih yang terdapat di pasaran pada ketika ini bersaiz 6cm.
"Jika kita mengimport bawang putih pada waktu ini, harga borong akan lebih tinggi untuk bawang bersaiz kecil," katanya.