DERBYSHIRE: Seorang lelaki yang koma sejak 10 bulan lalu menunjukkan tanda-tanda awal untuk pulih apabila dia menangis selepas mendengar suara tunangnya menerusi telefon.
Keluarga Mathew Taylor mungkin melihat bagaimana air matanya mengalir apabila Anda Nurul bercakap dengannya dari Bali.
Keluarga itu sebelum ini diberitahu, Taylor tidak akan sedar dari koma selepas terbabit dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan tengkoraknya retak, di pulau peranginan di Indonesia itu pada musim panas lalu.
Tetapi, dia menunjukkan tanda untuk pulih apabila ibu bapanya menelefon Anda dan meletakkan gagang telefon pada telinga Taylor di hospital.
Bapa tiri, Simon Moore, dari Overseal, Derbyshire berkata: “Anda bertanya kepada Taylor mengenai sesuatu dan dia kelihatan seperti berkata ‘Ya.’ Kemudian air matanya mengalir. Ia menakjubkan.” Taylor, 31, berkenalan dengan Anda, wanita kelahiran Bali, di pulau berkenaan, tempat dia mengajar bahasa Inggeris.
Anda, 27, berada di Britain apabila Taylor dipindahkan ke Hospital Royal Derby untuk rawatan. Dia terpaksa pulang selepas visanya tamat.
Luke Griggs, dari Badan Kebajikan Kecederaan Otak, Headway, berkata, Taylor yang berada dalam ‘koma kesedaran rendah,’ kemungkinan boleh pulih sepenuhnya.