KUALA LUMPUR – Pelakon lelaki yang digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan pelakon wanita baru, Cristina Suzanne, Bront Palarae akhirnya mengakui dia sudah pun mempunyai kekasih hati.
Namun, Bront tidak mendedahkan siapa wanita yang bertahkta di hatinya.
Katanya, dia tidak selesa menjaja cerita tentang kisah cintanya kerana Bront mahukan ruang privasi untuk dirinya dan kekasih.
“Sebagai seorang manusia yang normal, saya akui saya sedang mencintai dan dicintai oleh seorang wanita yang selama ini menjadi kekasih saya.
“Namun, saya tidak selesa jika kisah peribadi saya diketahui umum kerana saya juga seperti manusia biasa yang mahukan privasi,” kata Bront yang dipetik dari laman Murai.com.
Bagi Bront, kemahuannya untuk tidak bercerita mengenai kehidupan peribadinya kerana dia berpendapat tindakan itu tidak memberikan faedah kepada diri sendiri.
Justeru itu, dia lebih selesa menghebahkan cerita tentang perjalanan seninya berbanding dengan kisah kontroversi hidupnya.
“Saya rasa peminat lebih suka hendak tahu mengenai karier saya berbanding peribadi kerana mereka meminati lakonan saya dan bukan diri saya. Malah mereka mengenali saya hanya menerusi lakonan saya dan bukan diri saya sebenar.
“Lagipun, saya tidak nampak apa fungsi saya bercerita mengenai kisah peribadi kepada umum kerana ia tidak memberi kebaikan kepada sesiapa pun. Walau bagaimana pun, saya tidak akan berselindung untuk memberitahu umum bila kami ditakdirkan akan berkahwin nanti,” katanya.