JOHOR BAHRU - Seorang buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, awal bulan ini.
Tertuduh, Muidin Maidin, 24, didakwa membunuh Dirang di sebuah ladang kelapa sawit di Bandar Seri Alam kira-kira jam 11 pagi hingga 7 malam pada 1 Mac lalu.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pada prosiding hari ini, tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Isa Mohamed, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mei bagi sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Vinodharan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, keluarga Dirang, turut hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding yang dijalankan.
Ibunya, Roselyn Alan, 25, hadir bersama Milnah Jul, 56, dan saudara terdekat hadir kira- kira jam 9.30 pagi. Sinar Harian
Kalau suka artikel ini sila tekan like kat bawahsumber