IPOH – Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh sekumpulan babi hutan yang melintas di tengah jalan di KM 25 Jalan Damai Laut-Batu Hampar dekat Sitiawan malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Mohamad Roy Hashim berkata, Azlan Harun, 26, berasal dari Pantai Remis yang mengalami kecederaan di kepala dan badan, meninggal dunia ketika dirawat di sebuah klinik di Pantai Remis.
Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada 7.50 malam ketika Azlan dalam perjalanan dari Sitiawan ke rumahnya apabila dia merempuh sekumpulan babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan menyebabkan mangsa terbabas dan tercampak di atas jalan.
Seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu kemudian membantu Azlan membawanya ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan tetapi dia meninggal dunia ketika dirawat, kata Mohamad Roy. – BERNAMA