SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa bekas peguam, N. Pathmanabhan mempunyai motif untuk 'menghapuskan' jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin berkata, antaranya Pathmanabhan didesak Sosilawati supaya mempercepatkan tarikh pada cek RM3 juta dari 9 September 2010 kepada 30 Ogos 2010.
Cek itu dikeluarkan bagi pembayaran penjualan tanah Sosilawati di Pulau Pinang dan kemasukan cek itu disahkan menerusi keterangan pegawai bank, Tiong Guat Choo.
Namun, mengikut keterangan Guat Choo, akaun Pathmanabhan hanya mempunyai RM1.38 juta. Pathmanabhan juga mengetahui wangnya tidak cukup sekiranya tarikh cek itu dipercepatkan.
"Keterangan saksi menunjukkan RM2.9 juta dipindahkan ke akaun peribadi Pathmanabhan dan dikeluarkan pada 11, 25 dan 26 Ogos 2010.
"Bagi mewajarkan pengeluaran wang milik Sosilawati, Pathmanabhan telah menulis surat bertarikh 11 Ogos 2010 yang membenarkan dia memindahkan wang itu ke akaun peribadinya dengan jumlah pengeluaran pertama sebanyak RM500,000," katanya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.