Top Menu

NASA mencari planet yang menyerupai bumi

WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA) akan meneruskan misi kapal peninjau angkasa lepas Kepler dalam usahanya mencari planet yang menyerupai bumi dikenali Misi Kepler, walaupun ia sepatutnya berakhir November depan.
Penulis kanan laman web angkasa lepas NASA Space.com, Mike Wall menyatakan kapal angkasa Kepler dilancarkan pada Mac 2009, akan meneruskan operasinya sekurang-kurangnya hingga tahun kewangan 2016.
“Dana tambahan untuk operasi berkenaan dicadangkan kepada jawatankuasa penilaian semula NASA 4 April lalu dan bersetuju untuk meneruskan misi itu,” katanya.
Wall berkata, sejak dilancarkan Kepler berjaya mengesan lebih 2,000 bukti mengenai kewujudan 2,000 planet baru dan perkara ini amat memberangsangkan.
Pengarang Sains akhbar San Francisco Chronicle, David Perlman berkata jawatankuasa bebas saintis yang membuat penilaian ke atas Kepler menyatakan bahawa misi yang dilaksanakan ‘mencapai kejayaan besar’ berikutan pelbagai penemuan baru yang dihasilkannya, termasuk tambahan 2,300 planet baru di dalam sistem suria.
“Kepler berjaya meningkatkan pemahaman kami mengenai planet dan angkasa lepas. Ia sesuatu yang hebat. Tiada misi lain dapat menggantikan atau mengatasi kejayaan Kepler. Ia membantu kita menulis semula mengenai galaksi dan bumi kita,” kata Pengurus Projek Kepler di Pusat Penyelidikan Ames di California dalam satu kenyataan,
Misi Kepler pada awalnya untuk mencari planet yang saiznya hampir sama dengan bumi dan terletak di zon di mana ia boleh dihuni manusia, di dalam sistem suria.