Top Menu

operasi besar-besaran buru tahanan


KUALA LUMPUR – Polis kini melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan seorang tahanan yang meloloskan diri dari lokap tahanan sementara Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pada 6 April lalu.

Tahanan tersebut dikenali sebagai Mohd Redzuan Abd. Rahman, 32, memegang kad pengenalan bernombor 801213-05-5592 dan beralamat di nombor 2-07-7, Jalan 7/116B, Kuchai Enterprenurs Park di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Ibu Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, tahanan yang merupakan ketua kumpulan Man Kuchai itu sangat dikehendaki polis kerana lelaki tersebut merupakan individu yang ganas dan berisiko untuk mencederakan orang awam.

Katanya, berdasarkan rekod polis, lelaki berkenaan sepatutnya dibicarakan bagi empat kesalahan jenayah yang melibatkan kes rompakan.


“Kes antaranya melibatkan rompakan yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa, rompakan dengan menyamar sebagai anggota polis dan rompakan bersenjata termasuk menggunakan pistol.

“Tahanan turut aktif melakukan rompakan kenderaan mangsa dengan menggunakan modus operandi langgar belakang selain turut merompak di kedai-kedai yang beroperasi 24 jam di daerah Brickfields,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan juga menunjukkan tahanan sebelum ini pernah ditangkap berhubung kesalahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Namun, dia bertindak melarikan diri buat pertama kali sebelum ditahan dan melarikan diri buat kali kedua.

“Berdasarkan soal siasat ke atas beberapa tahanan lain, lelaki tersebut dipercayai telah melonggarkan gari di tangannya lalu bertindak meloloskan diri dari lokap tersebut,” katanya.

Mohmad memberitahu, siasatan turut dijalankan ke atas beberapa anggota polis yang bertugas semasa kejadian berlaku.

“Sekiranya wujud faktor kecuaian sehingga menyebabkan tahanan terlepas, kita akan mengenakan sama ada tindakan undang-undang atau tatatertib ke atas anggota terbabit,” katanya.

justeru, orang ramai yang mengenali dan mengetahui lokasi tahanan berada di minta untuk tampil memberikan maklumat di Balai Polis berhampiran.

“Orang ramai bagaimanapun diingatkan supaya jangan sesekali bertindak sendiri untuk menangkap lelaki itu bagi mengelakkan menjadi mangsa kecederaan.

“Ahli keluarga juga diingatkan supaya tidak melindungi tahanan berkenaan kerana perbuatan mereka ini adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari penjagaan yang sah.

sumber