Fesyen Najwa Latif Paling Teruk Dikritik Peminat. Najwa Latif menegaskan imej dan fesyennya yang dikatakan caca-marba dan tidak bersesuaian dengan faktor usia bukan ditentukan oleh kakaknya, Syafikah Latif. Sebaliknya, dia memberitahu setiap penampilannya pada acara-acara hiburan dan persembahan pentas ditentukan menerusi perbincangan banyak pihak.
“Pemilihan imej saya tidak hanya ditentukan oleh kakak, malah ia melibatkan pihak pengurusan dan saya sendiri. Tidak adil menuduh kakak saya menjadi punca kepada masalah imej dan fesyen saya.
Terbaru, penyanyi lagu Kosong itu sekali lagi dikecam segelintir pihak ekoran busana rekaan Wan Huzairil yang diperagakannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 (ABPBH2011) pada 8 April lalu tidak sepadan dengan usia remajanya. Difahamkan juga, kakak Najwa menjadi punca kecelaruan pada fesyen dan penampilannya selama ini.
Najwa mengakui masih banyak kelemahan pada penampilannya itu dan berusaha untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.
“Saya masih baru dan tercari-cari fesyen yang bersesuaian dan sepadan. Namun, saya tidak berkecil hati walaupun segelintir pihak masih mempertikaikan imej saya.
“Insya-Allah apabila saya aktif semula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya akan tampil dengan kelainan,” kongsinya.