BALIK BUKIT – Selepas kabel telefon di daerah ini habis dikebas pencuri, kini kepala paip besi tahan karat dan tembaga di masjid daerah ini pula menjadi sasaran.
Dalam kejadian terbaru, sebanyak 27 kepala paip besi tahan karat di Masjid Al Faqeh hilang dikebas pencuri.
Timbalan pengerusi jawatankuasa masjid, Nodin Mohadi berkata, kejadian tersebut disedari imam muda masjid itu, Adnin Abu Bakar ketika ingin mengambil wuduk untuk solat Asar,
petang kelmarin.
petang kelmarin.
Menurutnya, Adnin menyedari kehilangan kepala paip itu apabila mendapati tidak ada air di bahagian paip luar masjid dan apabila diperiksa di tempat mengambil wuduk lelaki sebanyak 22 kepala paip hilang dan baki hanya tiga kepala paip di bilik itu gagal ditanggalkan.
“Di ruang mengambil wuduk wanita pula sebanyak lima kepala paip jenis sama turut hilang menjadikan kesemua jumlah yang dicuri sebanyak 27.
“Pencuri terlebih dahulu menutup bekalan berhampi-ran meter air dan kejadian tersebut dipercayai dilakukan antara waktu Zuhur dan Asar berikutan ketika Zuhur kepala paip itu masih
ada,” katanya.
ada,” katanya.
Nodin berkata, kecurian itu menyusahkan jemaah me-ngambil wuduk untuk menunaikan solat di sini.
Menurutnya, beliau dan jawatankuasa masjid kesal dengan tindakan individu yang tergamak mencuri kepala paip tersebut sedangkan ia tempat suci umat Islam.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kejadian curi kepala paip membabitkan masjid berleluasa di daerah ini sejak beberapa minggu lalu.
Masjid Kayu Ulul Albab tidak terkecuali dan beberapa masjid lain kawasan Hulu Besut, Jertih, Kota Putera dan Kuala Besut turut menghadapi perkara sama.
Menurut saksi yang ditemui, kesemuanya dikatakan dilakukan pada waktu siang.
Banyak pihak membuat andaian perbuatan ini dilakukan kumpulan sama bertujuan mendapatkan wang bagi membeli dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) memandang serius perkara itu.
Kamaruddin berkata, tindakan lanjut sedang dilakukan pihaknya bagi mengesan suspek terbabit.