Top Menu

Bersih 3.0 : Polis bagaikan Israel Dan Rakyat Palestin


Bersih 3.0 menjadi titik hitam dalam sejarah demokrasi negara. Kebebasan bersuara ditekan. Kebebasan berhimpun dimusnah. Rakyat dipukul, diseksa dan ditangkap. Kerana apa? Kerana mereka mahukan pilihanraya yang adil dan bersih. Rakyat bagaikan masyarakat Palestin yang lama ditindas. Polis bagaikan penguasa Israel yang mengganas.

Jika dahulu kita sakit melihat tanah rakyat Palestin dirampas sewenang-wenangnya oleh penjajah Israel. Kini kita disakitkan dengan hakikat Dataran Merdeka dirampas daripada rakyat. Dataran Merdeka kekal milik rakyat. Dalam konteks yang lebih luas, setiap inci ruang alam semesta ini adalah milik Allah. Rakyat berhak berhimpun di dataran itu. Dataran Merdeka bukan milik DBKL, tidak PDRM, jauh sekali kerajaan. DBKL hanya diberi amanah untuk mengurus tadbir Dataran itu. Tidak lebih daripada itu. Analogi yang mudah, adakah apabila anda menyimpan duit didalam bank, duit itu berpindah hak kepada pegawai bank? Tidak bukan? Itulah juga perihal yang ingin disampaikan disini.

Jika dahulu penguasa Israel seringkali dilihat mencabuli hak asasi manusia rakyat Palestin yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa bagi pelarian dan tahanan perang. Kini kita menyaksikan bagaimana polis Malaysia mencabuli hak sivil rakyat Malaysia yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Universal Declaration of Human Rights. Menurut Perkara 10 (1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 19 dan 20 (1) Universal Declaration of Human Rights, semua orang berhak bersuara bagi menyatakan pandangan serta berhimpun secara rasmi tanpa sebarang senjata. Kami bangkit untuk menuntut pilihanraya yang adil. Adakah itu salah? Kami bukannya seperti Father Terry Jones yang berselindung disebalik the First Amendment of the US Constitution yang memberikan hak kepadanya membakar al-quran. Niat dan hasrat kami baik. Mengapa hak kami ditindas seperti di bumi Palestin?

Jika dahulu penguasa Israel menyerang menggunakan kereta kebal dan peluru hidup ke arah rakyat Palestin yang bersenjatakan batu, kini polis malaysia menyerang rakyat dengan air kimia dan bom asap. Tahukah betapa sengsaranya kami? Mata tidak melihat. Tangan berasa dibakar. Hingus meleleh dari hidung yang lemah. Rakyat mencungap kesakitan. Tahukah anda wahai penguasa yang kejam bahawa kami bertolak sesama sendiri dari kezaliman yang melampau? Tahukah anda, pak cik, makcik seusia 65 tahun berada disitu? Tahukah anda anak kecil dan bayi berada disitu? Tahukah anda yang penulis sendiri percaya tidak akan lagi bertemu esok? Kematian, itulah yang kami fikirkan! Mengapa tear gas canister itu ditembak tepat ke arah rakyat bukannya ke udara? Tahukah anda bahawa kelajuan tear gas canister yang ditembak itu boleh menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda? Selain itu, mengapa pistol berisi peluru hidup dibawa sekali ke Dataran Merdeka? Adakah Dataran Merdeka itu Tel Aviv? Mengapa pihak polis begitu bereya-eya mengatakan polis begitu teruk dibelasah sedangkan kami hanya bersenjatakan batu dan botol mineral. Bukankah hanya 20 anggota polis yang tercedera? Peserta Bersih yang dilanyak 3 kali ganda lebih banyak daripada polis yang terluka. Sekitar 60 orang. Mereka diserang kayu cota, tear gas canister, air kimia, tumbukan dan tendangan polis.

Tahukan juga anda wahai polis bahawa penguasa israel itu lebih baik daripada anda? Mereka tidak menyerang rakyat sendiri. Mereka menyerang rakyat Palestin sahaja. Sedangkan polis Malaysia ini menyerang rakyat sendiri. Yang lebih menyayat hati kebanyakan anggota polis itu beragama islam tetapi sanggup menyakitkan saudara seagamanya. Begitu besarkah gaji yang dibayar kepada anda untuk menyakitkan kami? Jika rakyat israel dibolehkan membina khemah dan dijaga keselamatan mereka untuk menyatakan bantahan kenapa kami tidak dibenarkan untuk duduk selama 2 jam? Mengapa kami ditangkap? Adakah kami pembunuh Altantuya?

Selepas kami lari berpecah jauh daripada Dataran Merdeka, polis masih melemparkan gas beracun ke arah kami dan sentiasa mengejar? Bukankah perintah mahkamah hanya menyatakan hanya Dataran Merdeka tidak dibenarkan untuk perhimpunan? Adakah kawasan Mydin, Masjid Jamek dan Sogo itu termasuk dalam Dataran Merdeka? Mengapa polis masih mengganas walaupun kami sudahpun 700 meter dari Dataran Merdeka? Apakah yang cuba disampaikan? Siapa yang melanggar undang undang pada masa ini? Tidak takutkah kamu akan dosa? Perbuatan ini mirip tindakan polis Israel yang sentiasa mengejar, menyerang dan memukul rakyat Palestin walaupun mereka telah jauh pergi daripada kawasan konflik. Adakah pihak polis diberi tauliah dan didikan daripada israel?

Jika dahulu kita sering dikejutkan dengan tindakan polis israel menyerang wartawan yang merakam keganasan keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Kini, perkara sama juga berlaku terhadap wartawan wartawan di Malaysia. Arif Kartono, seorang fotografer yang bekerja dengan the Malay Mail diserang oleh 6 orang anggota polis dan kameranya dipecahkan. Koh Jun Lin dan Harry Fawcett, masing masing wartawan daripada MalaysiaKini dan AlJazeera telah kehilangan memori kad dan koleksi video yang mendokumenkan keganasan polis yang dilakukan. Apa yang ingin disembunyikan? Pampasan wang tunai tidak cukup untuk menggantikan apa yang terjadi terhadap wartawan wartawan ini. Menurut CIJ, 9 orang wartawan telah menjadi mangsa perbuatan kasar polis. Tetapi tidak mengapalah, video amatur ratusan ribu telah ditangkap dan banyak telah dinaikturun ke Youtube. Keadilan sentiasa ada.

Kerajaan Israel sentiasa melakukan penipuan bagi menunjukkan bahawa kononnya mereka telah menang. Penipuan itu diwujudkan dalam bentuk buku, berita, dokumentari dan sebagainya. Begitu jugalah halnya dengan kerajaan Malaysia amnya dan PDRM khasnya. Menurut PDRM, jumlah peserta yang hadir untuk Bersih 3.0 ini hanyalah sekitar 25000 hingga 50000 orang. Sedangkan anggaran daripada penganjur Bersih sekitar jauh lebih tinggi daripada itu iaitu sekitar 250000 hingga 300000 orang. Manakala menurut badan badan bebas pula, jumlah yang hadir sekitar 80000 hingga 100000. Jumlah yang dianggarkan penganjur Bersih ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana Bersih bukan sahaja diadakan di Kuala Lumpur tetapi juga di 85 buah bandar di 35 buah negara sekaligus memecah rekod dunia dalam penganjuran perhimpunan. Persoalan yang muncul sekarang ini, mengapa anggapan pihak polis itu jauh terpesong daripada bukti, saksi dan dokumentasi fakta? Tidak tahukah mereka mengira dan menganggar? Atau adakah mereka takut menyatakan pada rakyat bahawa begitu banyak rakyat menyampah dengan kerajaan yang kotor ini?

Ya Allah, aku berdoa padaMu agar Kau berikanlah keadilan kepada hambaMu yang disakiti, Kau berikanlah kami peluang untuk memilih pemimpin dalam satu sistem pilihanraya yang adil lagi bersih.

Post Scriptum:

Jangan bazirkan tenaga anda kepada golongan manusia yang akan berkata

i) kau tak payah nak kutuk-kutuk polis. Nanti time kau susah polis juga yang kau cari.

ii) Sebelum nak pergi Bersih baik kau bersihkan hati dulu

iii) Padam muka kena tear gas. Nak sangat pegi. Sepatutnya polis tembak mati semua. Menyusahkan orang.

iv) Kalaw x bersih, kenapa lak pembangkang boleh tawan 5 kerusi.

v. Kau pergilah sujud kat Ambiga penyokong murtad tu.

InsyaAllah, mereka tidak akan pernah mengerti

Penulisan asli peserta Bersih 3.0 ,
Fazrin Jamal - lamankongsi