Top Menu

ibu bapa dibelasah kerana sebatang rokok


Ibu Bapa Dibelasah Kerana Rokok

GEORGE TOWN - Seorang pesakit mental mengejutkan sebahagian penghuni flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini apabila pemuda itu bertindak mengamuk dan memukul kedua-dua ibu bapanya menggunakan batang kayu mop Isnin lalu.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, suspek berusia 30-an sebelum itu dipercayai meminta wang daripada bapanya untuk membeli sebatang rokok tetapi permintaannya ditolak.

Suspek yang berang kerana hajatnya tidak ditunaikan tiba-tiba bertindak ganas dengan mencapai batang kayu mop di dalam rumah lalu melibas ke arah muka bapanya yang berumur 60-an.

Bagaimanapun, libasan pertama batang kayu mop tersebut mengenai kepala ibunya yang ketika itu cuba melindungi si suami. Suspek tidak berhenti di situ malah bertubi-tubi menghayun kayu mop tersebut sehingga menyebabkan pasangan warga emas itu cedera.

Bunyi bising daripada jeritan anak beranak itu mengejutkan jiran yang sebahagian besar sedang nyenyak tidur.