CHERAS: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Vietnam yang cuba terjun dari rumahnya dipercayai ingin membunuh diri di Apartmen Casaria, Taman Maluri, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, wanita yang berusia 20-an terbabit turut mengelar kedua-dua tangannya sebelum mahu terjun.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.56 petang yang memaklumkan kejadian itu.
“Pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Pudu dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita sedang duduk di tepi tingkat dua apartmen itu.
“Anggota berkenaan meminta mangsa bertenang dan memujuknya supaya tidak terjun dan usaha itu berjaya setengah jam kemudian,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas wanita terbabit mendapati kedua-dua pergelangan tangannya luka dipercayai dikelar.
“Siasatan di tempat kejadian turut menemui sebilah pisau pemotong sayur dipercayai digunakan wanita terbabit,” katanya.
Katanya, wanita terbabit diberi rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, punca wanita itu bertindak demikian masih disiasat.