Top Menu

Cerita Neelofa tentang hidup sebagai artis



KONTROVERSI demi kontroversi. Daripada awal pembabitannya dalam industri seni tempatan sejak dua tahun lalu, gadis jelita berusia 23 tahun ini seperti tidak pernah lekang daripada kontroversi yang sentiasa melanda dirinya. Noor Neelofa Mohd. Noor atau nama komersialnya, Neelofa sendiri mengakui akan perkara tersebut ketika ditemuramah.
Namun kerana minat terhadap dunia seni, segalanya dianggap cabaran dan lumrah kehidupan menjadi seorang selebriti yang mengharuskan sesiapa juga melalui perkara yang hampir serupa.
"Memang tidak dinafikan sejak awal terlibat dalam industri seni hiburan tanah air, kontroversi tentang saya kelihatan seperti tidak putus-putus. Ada sahaja cerita yang akan keluar tentang diri saya dan kebanyakannya cerita daripada pihak ketiga.
"Bagaimanapun, kontroversi yang selalu melanda diri saya ini bukannya daripada diri sendiri, namun ia tentang ramai orang yang bercerita tentang itu dan ini. Saya perlu katakan, perkara ini bukan diminta tetapi ia hadir secara tidak disangka," jelas Neelofa yang mesra disapa Lofa ini.
Bagaimanapun, di sebalik kontroversi yang berlegar laju dalam ruang industri hiburan tanah air tentang Lofa, dia percaya selagi wujud isu yang ingin diceritakan tentang dirinya, bermakna dia masih lagi berada di depan mata dan belum dilupakan. Jadi, tutur wanita berwajah cantik dan bertubuh genit ini, mahu atau tidak dia perlu terima segalanya.
Geram
Bercerita tentang tekanan yang dihadapinya, ujar Lofa, mungkin pada mulanya, dia tertekan dengan apa yang diceritakan oleh masyarakat sekeliling tentang dirinya. Namun, lama-kelamaan, dia mula membuat kesimpulan sendiri.
"Kini apabila ada terbaca tentang diri sendiri dalam akhbar dan sebagainya, memang geram pada mulanya. Namun setelah itu saya fikir jika mereka suka saya, memuja saya ataupun membenci saya, ia adalah hak mereka.
NEELOFA sudah dua tahun berada dalam dunia seni tempatan.


"Ini kerana jika Allah sudah tetapkan rezeki saya, ia tetap ada dan sama sahaja. Melainkan saya sendiri yang buat perangai, itu memang seperti mencari nahas sendiri. Namun, mungkin dari segi karier tidak begitu memberi kesan. Bagaimanapun dari segi persepsi orang terhadap saya, memang mereka akan punya tanggapan serong terhadap diri," jelas Lofa panjang lebar tentang tempias kontroversi terhadap karier dan diri.
Ketika ditanya adakah dia risau peminat akan bosan kerana sering dilanda kontroversi, jawab Lofa, walau apa pun kontroversi yang melanda, jika seseorang artis itu punya produk yang bagus yang mampu menaikkan mereka, maka mereka tetap akan berjaya.
"Jadi bagi saya, lagi banyak saya terkena tempias kontroversi seperti ini, lagi kuat saya perlu bekerja untuk keluar dari kepompong isu tersebut. Saya perlu rajin untuk tonjolkan bakat yang saya ada selain dari terlibat dengan kontroversi sahaja.
"Jika mengikut andaian yang mudah, memang lumrah manusia pasti akan terasa jika melihat sesiapa yang mereka kenali berada di atas atau mencapai kejayaan. Bagi saya, jika seseorang itu berjaya mahupun gagal dalam apa bidang sekalipun, orang tetap akan kritik kita. Mereka tetap akan lihat keburukan dari kebaikan kita," tutur Lofa memberi pendapat tentang kemungkinan ada yang ingin menjatuhkan namanya.
Rezeki
Mungkin sepanjang tahun pertama pembabitkan dalam dunia seni, peminat Neelofa sendiri dapat melihat wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini banyak tampil di kaca televisyen dan layar perak. Namun, masuk tahun kedua, Lofa kini dilihat banyak tampil dalam program hiburan dan menjadi pengacara.
"Semasa mula-mula terlibat dengan pertandingan Dewi Remaja (pada tahun 2010), saya sememangnya tiada niat untuk ke bidang lakonan. Memang Lofa minat dengan bidang pengacaraan dan menyimpan hasrat untuk terjun ke bidang tersebut.


"Jadi, selepas (menjuarai) Dewi Remaja tersebut, saya terus dapat tawaran lakonan terlebih dahulu. Jadi tidak salah rasanya Lofa mencuba untuk berlakon. Namun kerana saya juga masih lagi hijau (baharu), pengalaman pun baru masuk dua tahun, maka saya tidak mahu mengehadkan diri saya dan ingin cuba pelbagai bidang," ujarnya.
Tambah Lofa, walaupun sibuk dengan bidang pengacaraan, namun tawaran lakonan masih akan diterimanya. Bagaimanapun kata Lofa, dia tidak mahu terlalu banyak ambil tawaran drama, ini kerana dia mahu beri fokus terhadap filem dan telemovie.
"Buat masa ini, saya masih ada banyak masa terluang sebelum bisnes berkembang. Saya rasa ini masanya saya mencuba untuk bekerjasama dengan ramai pengarah dan membawa karakter yang berlainan dalam lakonan.
"Mungkin dalam masa dua tahun, jika bisnes saya telah berkembang, saya perlu berikan tumpuan kepada bisnes pula, jadi inilah masanya untuk saya cuba. Saya juga tidak mahu memilih sangat, jika ada rezeki ke arah lakonan, akan saya pertimbangkan dan ikut sahaja apa yang diberi," jelas Lofa.