Top Menu

Penjenayah korea ditangkap di Malaysia



KUALA LUMPUR – Kelicikan seorang penjenayah Korea yang bersembunyi di negara ini sejak lima tahun lalu tidak ke mana apabila dia diberkas sepasukan anggota Imigresen Kuala Lumpur di sebuah stesen minyak di Desa Sri Hartamas di sini kelmarin.
Lelaki berusia 53 tahun tersebut diberkas pada pukul 11.30 pagi selepas pihak berkuasa itu membuat risikan selama sebulan untuk menjejakinya.
Difahamkan, dia dikehendaki oleh pihak berkuasa Korea atas kesalahan jenayah yang dilakukan sebelum dia melarikan diri ke negara ini. Bagaimanapun, Korea tidak mendedahkan jenis jenayah yang telah dilakukan suspek.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Zamry Mohd. Nor berkata, suspek pada mulanya dikesan di sebuah kondominium mewah di Ampang sebelum mereka mengekori kereta mewah yang dipandunya sejauh 20 kilometer.
Katanya, anggotanya kemudian cuba memberkas suspek ketika dia turun untuk mengisi minyak sebelum berlaku sedikit pergelutan.
“Siasatan mendapati suspek hidup mewah di negara ini dan kita syak dia menjalankan peniagaan pusat hiburan dan restoran.
“Lelaki itu dikesan sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengelakkan pergerakannya dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.