MUMBAI – Aktor terkenal, Shah Rukh Khan berdepan dengan siasatan polis dan larangan seumur hidup daripada memasuki sebuah stadium utama kriket di sini selepas dia bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan, kata beberapa pegawai.
Shah Rukh bertengkar dengan seorang pengawal itu di atas padang Stadium Wankhede di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku apabila Shah Rukh, 46, membawa beberapa remaja termasuk anak perempuannya, Suhana ke atas padang di stadium tersebut selepas satu perlawanan kriket.
Seorang jurugambar agensi berita AFP berkata, seorang pengawal keselamatan menghalang kumpulan remaja tersebut daripada bermain di atas padang.
Tindakan pengawal itu mencetuskan kemarahan Shah Rukh.
Pelakon itu kemudian bertengkar dengan pengawal tersebut selama 10 hingga 15 minit.
Dua lelaki dilihat campur tangan dalam pertengkaran itu.
Namun, Shah Rukh kemudian mengalah dan meninggalkan stadium tersebut.
“Beberapa pengawal keselamatan memintanya supaya dia beredar tetapi Shah Rukh yang memulakan pertengkaran,” kata Setiausaha Persatuan Kriket Mumbai, Nitin Dalal.
Menurutnya, dia memasuki padang 30 minit selepas perlawanan berakhir.
“Beberapa pengawal memberitahunya bahawa dia memasuki padang pada masa yang tidak sesuai.
“Shah Rukh tidak berkelakuan baik dan menggunakan bahasa kesat,” katanya.
Dalal berkata, pihaknya telah memfailkan aduan kepada polis.
Menurutnya, pelakon itu mungkin dilarang daripada memasuki stadium tersebut pada masa depan.
Sebelum ini, Shah Rukh diarah hadir ke sebuah mahkamah di Jaipur pada lewat bulan ini selepas dia merokok di sebuah stadium kriket.
Merokok tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang antimerokok di stadium.
Pada Januari lalu, dia turut berdepan dengan pergaduhan selepas seorang pengarah wanita mendakwa pelakon tersebut menyerang suaminya.
Shah Rukh merupakan pemilik pasukan kriket Kolkata Knight Riders. – Agensi